Taubat Sekali, Esok Dosa lagi.

8:03:00 PM

"Assalamualaikum.. Maaf, saya ingin bertanya tentang dosa ber'couple' pada anta. Kawan baik saya kini berada di alam percintaan. Dia selalu melakukan perbuatan yang tidak elok dengan kekasihnya contohnya berpeluk dan banyaklah lagi perbuatan-perbuatan lain yang boleh dikategorikan sebagai maksiat. Walaubagaimanapun, dia memberitahu saya bahawa dia tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa bertaubat kerana dia sedar akan kesalahan-kesalahan yang dilakukannya. Saya keliru, adakah taubatnya tetap diterima Allah kerana sejurus selepas dia bertaubat dia akan melakukan maksiat semula, kemudian dia bertaubat lagi dan berterusan melakukan dosa yang sama?"

Saya diajukan soalan tersebut oleh seorang sahabat yang benar-benar mengambil berat kepada rakannya. Alhamdulillah, sahabat saya ini inginkan kepastian kerana dia sayang akan rakan karibnya. Sudah pasti dia tidak mahu rakan karibnya terus bergelumang dengan dosa.

Saya terpanggil untuk menjawab permasalahan ini. Berhenti daripada perbuatan dosa bukan semudah mencuci debu di jendela. Lebih-lebih lagi dosa yang sudah sebati dalam kehidupan kita. Dosa yang apabila dibuat, langsung tidak rasa gentar kepada Allah. Dosa yang direlakan atas bisikan syaitan yang mengatakan tidak mengapa, Allah Maha Pengampun.

Itulah dosa yang telah sebati dengan kehidupan. Belum lagi dosa-dosa lain yang kita lakukan tanpa sedar, dan dosa-dosa yang tidak ternampak dari pandangan mata kita Alangkah banyaknya dosa kita pada Allah. Iblis yang baru sekali ingkar kepada Allah pun telah Allah campakkan ke bumi dan telah Allah janjikan Api neraka untuknya selamanya. Apatah lagi kita manusia yang berkali-kali mengulangi dosa. Astaghfirullahalazim..

Setujukah kalian sekiranya saya ibaratkan hidup ini sebagai sebuah gelas kosong? Gelas yang lutsinar, kosong tidak berisi dan setiap pandangan manusia bisa tembus melalui kaca gelas tersebut. Itulah kita ketika dilahirkan. Suci daripada segala kotoran dan kejahatan. Matlamat kita jelas untuk menjadi hamba kepada Allah yang esa. Kita tidak dicemari titis-titis hitam kehidupan. Maka kita lahir dalam keadaan yang sangat mulia disisi Allah.

Berbalik pada realiti, cuba anda perhatikan gelas yang kosong itu. Dan bayangkan itu waktu kehidupan seharian kita. Kita mempunyai 24 jam sehari bukan? Dan dalam 24 jam inilah, kebaikan dan keburukan akan berlumba-lumba untuk mengisi ruang gelas yang kosong tadi. Bermula dengan kebaikan yang dikurniakan dalam diri, menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan samada gelas itu akan terus suci atau dicemari.

Sekarang cuba pula anda tuangkan air kosong atau air zamzam atau air mineral kedalam gelas tersebut? Warnanya masih lagi jernih! Suci dan masih lagi dapat ditembusi oleh pandangan mata. Inilah yang diibaratkan sebagai jiwa dan kehidupan yang dipenuhi amal kebaikan. Insya-Allah hati kita masih lagi jernih dengan iman tetapi tiada manusia yang tidak melakukan kesilapan selain Nabi Muhammad S.A.W. Sekarang, cuba anda tenung air tersebut dengan lebih dekat lagi. Anda akan terlihat debu-debu halus berenang di dalam air yang suci itu. Itulah dosa orang yang beriman. Halus, sangat sedikit sehigga dilihat dengan dekat pun belum tentu akan terperasan akan kehadirannya. Dari pandangan mata kasar, dia tetap suci dan jernih..penuh dengan kebaikan yang dilakukan.

Cuba ambil sebuah gelas kosong lagi. Asalnya dia juga sama, suci, lutsinar pada pandangan mata. Tuangkan air kopi atau coke didalamnya perlahan-lahan. Sedikit sebanyak kesucian tadi hilang bukan? Anda akan dapat melihat sebuah gelas yang dipenuhi titis-titis hitam pekat yang menghalang pandangan mata anda untuk menembusi gelas tersebut. Inilah, yang diibaratkan sebagai kehidupan dan hati yang kotor. Hati yang penuh likat dengan dosa. Daripada keadaan suci bersih, kehidupan itu menjadi sedikit gelap dan kemudian lebih gelap dan berterusan gelap selamanya. Jika dicuci dengan air dan sabun barulah cawan itu akan kembali suci. Air dan sabun itulah yang diibaratkan sebagai taubat.

Justeru, kita wajiblah memenuhkan ruang kehidupan kita dengan amal kebaikan. Bukan bertaubat berkali-kali dan kemudian melakukan kembali dosa tersebut. Perbuatan itu umpama mempermainkan Allah S.W.T. Mempermainkan sifat Allah yang Maha Pengampun. Akhirnya, bukan sahaja dosa melakukan maksiat tetapi dosa mempermainkan Allah juga kita perolehi. Bayangkan kemungkaran Allah S.W.T terhadap hamba-Nya yang tidak langsung takut dan cinta pada-Nya? .

Bertaubat dan berdoa sebenarnya hanya merupakan salah satu cabang usaha.

Ada orang menyangka, untuk berhenti daripada melakukan dosa, dia hanya perlu sekadar berdoa dan melaksanakan solat taubat. Sesungguhnya dia silap!. Usah menoktahkan usaha hanya sekadar berdoa dan solat taubat. Anda perlu melakukan lebih daripada itu.

Kerana apa? Kerana syaitan tidak pernah sesaat pun berhenti daripada menyesatkan manusia. Dan ketahuilah, syaitan itu musuh kamu yang nyata!

Meskipun syaitan mengalir dalam pembuluh darah manusia, ingatlah, Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita. Allah sentiasa ada bersama kita. Dia ada untuk melindungi hamba-hamba-Nya daripada godaan syaitan. Dan jika kena pada cara kita, Insya-Allah kita berjaya menangkis godaan-godaan syaitan tersebut.

Hamba Allah yang manakah yang akan bebas daripada godaan syaitan? Hanya hamba-hamba Allah yang ikhlas sahaja yang akan dilindungi daripada godaan syaitan. Maka, sama-samalah latih diri untuk ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara yang baik. Semua perkara yang kita lakukan harus bermatlamatkan Allah. Demi mencapai Redha-Nya dan rahmat-Nya.

Akhirnya, selain doa dan solat taubat, isilah dan sibukkanlah kehidupan anda dengan sebanyak-banyaknya amalan kebaikan. Jauhkan diri anda daripada pintu-pintu dan amalan-amalan kejahatan yang berpotensi untuk membawa anda ke arah kejahatan yang lebih dasyat. Wallahualam.


sumber: http://www.iluvislam.com/

Artikel Terkait

Previous
Next Post »

Hai.. Terima kasih sudi baca entry saya. Sudi-sudikanlah juga untuk komen yerr. Komen yang baik-baik dan murni-murni je tau.. Semoga Allah merahmati anda. Amiiin.. Terima Kasih.. :) EmoticonEmoticon